My Add

Wednesday 13 March 2013

Syabas terima 99 aduan kes curi air, kerugian hampir RM1 juta

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menerima 659 aduan kes curi air membabitkan kerugian RM975,408.39 sejak Januari tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Yusof Badawi berkata sejak Januari hingga Ahad lepas, sebanyak 99 kes diklasifikasikan sebagai sahih dan pihak Syabas telah mengambil tindakan lanjut terhadap semua kes tersebut.

"Anggaran tuntutan ganti rugi keseluruhan yang dituntut Syabas berhubung kesalahan kegiatan ini pula berjumlah RM947,408.39," katanya kepada pemberita selepas menyerbu tapak projek mega pembinaan pengangkutan awam Mass Rapid Transit (MRT) di sini hari ini.

Yusof berkata, pada tahun lepas 3,583 aduan yang sama diterima Syabas dan 730 kes diklasifikasikan sebagai sahih, manakala anggaran tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM6,726,528.12.

Dalam serbuan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu, empat lokasi diserbu iaitu dekat Lorong Semantan, Kuala Lumpur; Plaza Tol Batu 9, Taman Suntex, Cheras; Jalan Reko, Kajang dan Jalan Damansara.

Beliau berkata, siasatan dilakukan selama dua bulan bagi mengenal pasti kawasan yang terlibat dalam kegiatan mencuri air.

Katanya, berikutan serbuan itu, Syabas menganggarkan kerugian air terawat yang telah digunakan secara tidak sah bagi keempat-empat lokasi adalah berjumlah RM350,164.20.

"Pada serbuan yang dijalankan hari ini, pihak Syabas mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan serta akan membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air kepada pihak yang didapati menggunakan bekalan air terawat secara tidak sah," katanya.

Yusof berkata, pihak SPAN telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan untuk tujuan tindakan pendakwaan.

Katanya, mana-mana individu atau pihak yang didapati mengambil air terawat secara haram boleh dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 123(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment