My Add

Sunday 24 March 2013

Taliban ugut bunuh Musharraf

ISLAMABAD, SABTU, 23 Mac, 2013: Taliban Pakistan mengugut untuk membunuh bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf seandainya bekas pemimpin yang hidup dalam buangan itu kembali ke negara ini.

Dalam satu rakaman video yang disiarkan hari ini, Adnan Rasheed yang sebelum ini terlibat dengan cubaan membunuh Musharraf berkata, pejuang mujahidin Islam bersedia dengan skuad khas mereka untuk 'menghantar Musharraf ke neraka.'

"Mereka terdiri daripada pengebom berani mati, penembak hendap, unit serangan khas dan pasukan tempur," katanya yang merupakan antara 400 banduan yang melarikan diri dari penjara tahun lalu.

Musharraf mengundang kemarahan Taliban dan lain-lain kumpulan militan kerana menyertai kempen menentang keganasan Amerika Syarikat (AS) berikutan serangan 11 September 2001 di New York dan kemudian melancarkan kempen memerangi kegiatan militan besar-besaran di Pakistan.

Beliau dijangka pulang ke Pakistan esok dari Dubai selepas hampir empat tahun hidup dalam buangan, dalam cubaan untuk menyertai Pilihan Raya Parlimen Pakistan pada 11 Mei nanti.

Musharraf menerajui Pakistan pada 1999 melalui rampasan kuasa dan meletak jawatan pada 2008 apabila sekutunya kehilangan undi serta kerajaan baharu mengancam untuk mendakwanya.

Beliau meninggalkan Pakistan setahun selepas meletakkan jawatan.

Bekas Jeneral Tentera itu berdepan kemungkinan ditahan berhubung dakwaan gagal menyediakan kawalan keselamatan kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto sebelum pembunuhannya pada 2007 dan beberapa kes lain. - REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment