My Add

Monday 18 March 2013

Tambahan bonus sebulan gaji bagi kakitangan PNB

SERDANG:, ISNIN, 18 Mac, 2013: Kakitangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menerima bonus tambahan sebulan gaji bagi 2012, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada bonus tahun lepas akan menyuntik semangat warga PNB untuk meneruskan pencapaian kumpulan itu selama 35 tahun.

"Saya berharap dengan imbuhan ini seluruh warga kerja akan bekerja lebih kuat lagi, lebih tekun dan lebih gigih lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun PNB ke-35 di sini, malam tadi.

Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Selain pemberian bonus, Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa seramai 2,474 anak kakitangan PNB berumur 23 tahun ke bawah dan masih belum bekerja akan menerima RM1,000 seorang dalam bentuk unit Amanah Saham 1Malaysia bagi tahun ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut melancarkan perkhidmatan terbaru berkaitan pewarisan unit amanah, iaitu Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASBN) yang mana bakal memberi manfaat kepada 11 juta pemegang unit berkenaan.

Katanya Hibah Amanah dikhususkan kepada pemegang unit beragama Islam sementara Pengisytiharan Amanah kepada bukan Islam.
"Perkhidmatan terbaru ini membantu pemegang unit ASBN merancang harta pusaka membabitkan amanah ASBN agar dapat diagihkan kepada waris dengan mudah dan pantas berbanding proses tuntutan harta pusaka biasa, selepas pemegang unit meninggal dunia," katanya.

Beliau juga mengingatkan warga syarikat kumpulan PNB bahawa segala kejayaan yang dikecapi PNB hanya dapat diteruskan sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negara.

Katanya kerajaan begitu prihatin dalam merancang dan menjamin kejayaan PNB bukan sahaja di dalam negara, bahkan juga di peringkat antarabangsa, sekali gus melahirkan ramai pentadbir dan pengurus anak-anak Melayu yang berjaya dan berwibawa untuk mengendalikan badan-badan korporat.

"Kalau dulu mereka tidak ada peluang tetapi sejak penubuhan PNB, ramai anak bangsa yang kini dapat kita gariskan di kalangan mereka-mereka yang begitu cekap menguruskan perniagaan bernilai berbilion-bilion ringgit dan mereka telah diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau juga bangga dengan kecekapan PNB menguruskan pelbagai saham yang menaja keuntungan seperti Amanah Saham Nasional dan skim Amanah Saham Bumiputera.

"Dividen dan bonus sebanyak RM103.5 bilion yang telah dibayar selama ini menunjukkan bahawa pengurusan PNB dan syarikat kumpulan itu telah diuruskan dengan cekap dan telah berjaya menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan," katanya.

Najib berkata aset PNB kini bernilai RM237 bilion serta mencatatkan keuntungan lebih RM2 bilion tahun lepas, iaitu pencapaian terbaik sejak penubuhannya.

"Jumlah keuntungan yang begitu menggalakkan itu tidak termasuk keuntungan RM11.81 bilion yang dijana menerusi dana-dana unit amanah ASNB," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment