My Add

Tuesday 19 March 2013

Tempoh reman guru hina pasukan keselamatan dilanjutkan tiga hari lagi

Oleh YULPISMAN ASLI
PASIR PUTEH, ISNIN, 18 Mac, 2013: Tempoh tahanan reman seorang guru yang didakwa menghina pasukan keselamatan sebagai 'anjing' dalam laman sosial Facebook miliknya, dilanjutkan selama tiga hari lagi sehingga Rabu ini.

Perintah lanjutan tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amir di Pasir Puteh.

Sebelum ini, guru berkenaan, Mohd. Lotfi Nor, 37, direman selama empat hari selepas ditahan pada 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan perintah tahanan reman itu dan memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948.

"Siasatan terhadap suspek akan dilengkapkan sebelum dia boleh dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Kelantan telah memulakan tindakan tatatertib ke atas Mohd. Lotfi.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, pihaknya mengeluarkan surat tahan kerja ke atas guru tersebut bermula semalam sehingga proses perbicaraan mahkamahnya selesai.

Beliau berkata, melalui tindakan itu, penyaluran gaji guru tersebut dihentikan selama mana beliau tidak bertugas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment