My Add

Sunday 24 March 2013

Tentera dikerah pulihkan keamanan selepas rusuhan agama

MEIKHTILA, SABTU, 23 Mac, 2013: Tentera Myanmar dikerah memulihkan keamanan di bandar dan perkampungan di sini hari ini ekoran rusuhan agama antara penduduk Buddha dan Islam yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Dalam rusuhan terbabit yang merupakan paling teruk di Asia Tenggara pada tahun ini, menyaksikan berpuluh-puluh orang terbunuh, kebanyakannya penduduk beragama Islam, dan masih terdapat mayat-mayat mangsa bergelimpangan di jalanan.

Trak-trak yang membawa askar kerajaan dilihat meronda di Meikhtila dan mengawal beberapa kedudukan strategik di simpang-simpang utama jalan dan bank.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa turut menghantar bantuan bekalan makanan dan air kepada beribu-ribu penduduk Islam yang menjadi pelarian.

Presiden, Thein Sein turut mengeluarkan perintah darurat di wilayah tersebut semalam sebagai langkah menghentikan keganasan di kawasan itu merebak ke wilayah lain.

Seorang ahli Parlimen parti pembangkang, Win Htein berkata, pasukan polis antirusuhan turut dikerah untuk merampas senjata merbahaya daripada perusuh beragama Buddha.

"Hampir 6,000 penduduk Islam telah dipindahkan ke dalam sebuah stadium dan balai polis demi keselamatan mereka," katanya. - AP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment