My Add

Friday 22 March 2013

Tian Chua patut jawab laporan media asing

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sewajarnya menjawab dahulu laporan media asing yang mengaitkan pemimpin pembangkang dengan insiden Lahad Datu daripada berterusan menuduh perkara itu konspirasi UMNO.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, laporan media asing itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja dan Tian Chua juga perlu menjelaskan agenda pertemuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.

Jelasnya, masyarakat juga mahukan penjelasan mengenai tujuan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R. Sivarasa melakukan lawatan ke Manila pada 7 Februari lalu.

"Saya rasa Tian Chua sudah hilang akal apabila berterusan menuduh insiden Lahad Datu sebagai konspirasi dan sandiwara UMNO, jika ini semua lakonan, bagaimana hendak bayar semua kematian anggota polis dan tentera.

"Dia sebenarnya patut ke hadapan untuk menjawab dahulu semua laporan media asing yang mengaitkan pemimpin pembangkang dengan insiden Lahad Datu daripada terus menabur fitnah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, dalam program ceramah di depan pejabat PKR Melaka di Taman Bukit Piatu Mutiara, Melaka, Tian Chua dilaporkan terus mendakwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu sebagai satu konspirasi UMNO.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya dalam lidah rasmi PKR, KeadilanDaily.com kononnya pencerobohan pengganas di Lahad Datu sandiwara UMNO.

Sementara itu, Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, Ahli Parlimen Batu itu sepatutnya membawa pembelaan dirinya di mahkamah dan bukannya terus berceramah mengelirukan masyarakat.

"Inilah bentuk pemimpin yang Anwar Ibrahim telah lahirkan, seorang pemimpin yang tak mematuhi lunas undang-undang, kenapa dia perlu bangkitkan perkara yang sedang diteliti di mahkamah?

"Kita tidak mahu mengganggu prosedur mahkamah tetapi golongan ini hanya tahu menggunakan undang-undang untuk politik, dia tahu guna mahkamah untuk saman orang, tetapi dia sendiri tidak mahu hormat undang-undang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment