My Add

Thursday 14 March 2013

Tiga lagi Sekolah Dalam Hospital akan dibuka

KUALA LUMPUR, RABU,  3 Mac, 2013: Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, tiga lagi Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan dibuka di hospital terpilih menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, tiga hospital yang dipilih untuk projek 'Hati Nurani' itu ialah Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor Baharu, Hospital Umum Sarawak serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Sabah.

"Ketiga-tiga hospital ini bakal mempunyai SDH yang dijangka memulakan operasi secara berperingkat iaitu di Muar pada April, diikuti Sabah dan Sarawak Julai tahun ini.

"Pihak kami memutuskan untuk membuka SDH berkenaan berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat SDH Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah PPUKM, Datuk Dr. Raymond Azman Ali dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin.

Noorainee yang juga penaung Projek 'Hati Nurani' berkata, rancangan perluasan SDH turut mengambil kira keperluan pesakit kanak-kanak dan remaja di Sabah dan Sarawak.

Ujar beliau, dalam tempoh Julai 2011 hingga Februari 2013, SDH telah memberikan manfaat kepada 16,839 pelajar yang menjalani rawatan pemulihan di tujuh hospital terlibat.

Katanya, tujuh hospital perintis itu ialah Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur; Hospital Ampang; Hospital Serdang; Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan.

"Bagi tempoh semester persekolahan tahun ini sahaja iaitu Januari 2013, tujuh SDH telah mencatatkan kehadiran berjumlah 1,736 pelajar manakala 1,428 orang sepanjang bulan Februari," katanya lagi.

Projek SDH ialah hasil cetusan idea Noorainee dan telah dilancarkan pada 26 Julai 2011 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penubuhan SDH merupakan satu inisiatif bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen (YNY).

SDH merupakan perkhidmatan pendidikan yang berterusan secara formal dan berstruktur dengan memfokuskan kepada kesediaan dan keupayaan pelajar yang sedang menerima rawatan di wad hospital. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment