My Add

Wednesday 13 March 2013

TPM ajak umat Islam tingkat tekad, azam pertahan negara

TAWAU, SELASA, 12 Mac, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh umat Islam untuk meningkatkan tekad serta azam bersama pemimpin dan kerajaan bagi mempertahankan keamanan negara.

Muhyiddin berkata, dalam situasi negara yang kini berdepan cabaran pencerobohan pengganas, adalah penting bagi umat Islam untuk mengukuhkan persefahaman, perpaduan dan kesatuan sesama mereka.

"Untuk itu sudah tentulah antara perkara yang paling utama ialah bagi mewujudkan kerjasama dan semangat ukhwah atau persaudaraan Islam yang lebih jitu dan kukuh. Ini adalah satu tuntutan agama Islam yang mahu melihat umat Islam sentiasa bersatu.

"Dengan kesatuan dan kesepaduan itu, kita dapat memikul amanah untuk terus memajukan dan memakmurkan negara kita," katanya ketika berucap pada majlis tahlil dan solat hajat di Masjid Cahaya Raudhah di Taman Sri Apas dekat sini malam ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Muhyiddin berkata, dalam situasi negara yang berdepan ancaman pengganas sekarang maka sudah seharusnya akan meningkatkan lagi semangat cinta dan kasih rakyat Malaysia kepada negara tercinta ini.

Beliau berkata, meskipun ada anggota keselamtan yang sentiasa berusaha mempertahankan negara daripada anasir penggganas namun benteng sebenar dan kekuatan paling utama umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya ialah mengukuh hubungan baik dan akrab sesama rakyat.

Katanya, keamanan dan kestabilan yang selama ini dinikmati adalah hasil perpaduan sesama umat Islam dan semua rakyat Malaysia dan perpaduan itu perlu terus dipelihara bagi memastikan pembangunan terus dapat dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, jika negara berada dalam keadaan aman dan selamat serta tidak berlaku sebarang krisis, ia akan membenarkan kepimpinan negara untuk memikul tugas yang lebih besar untuk membangunkan negara, seperti yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment