My Add

Thursday 14 March 2013

TPM dedah niat pembangkang

 *MUHYIDDIN Yassin disambut meriah oleh orang ramai yang menghadiri
majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Bukit Sentosa, Hulu
Selangor, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan TERMIZI CHE ANUAR
HULU SELANGOR, RABU. 13 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang untuk menimbulkan huru-hara pada hari pengundian dan kemudian menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai kambing hitam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, huru-hara merupakan sebahagian daripada perancangan jahat pembangkang untuk menawan Putrajaya selepas tidak lagi yakin rakyat akan memilih mereka kerana gelombang sokongan kini jelas berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Jelas Muhyiddin, pendedahan itu bukan dakwaan semata-mata kerana beliau sendiri telah melihat beberapa dokumen daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa Anwar dan parti pembangkang mempunyai niat tidak baik untuk mencetuskan kekacauan pada hari pengundian kelak.

"Anwar sebut beberapa kali, kalau pembangkang kalah dalam pilihan raya umum nanti, maka tentu kekalahan itu adalah kerana SPR main kotor dan tipu. Bila dia (pembangkang) menang pilihan raya tidak pernah pula kata SPR tipu rakyat. Kenapa bila nampak-nampak nak kalah buat tuduhan?

"Saya ada baca beberapa dokumen daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa dia (Anwar) nak buat sesuatu pada hari pengundian nanti. Kenapa nak buat masalah pada pilihan raya? Kalau Anwar yakin dan percaya bahawa rakyat sokong, kenapa dia nak buat porak-peranda?

"Kerana Anwar tahu. Dia pun kira dan kita pun kira tetapi kita lebih pandai kira bahawa BN kini semakin selesa untuk kembali membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum nanti," katanya semasa berucap dalam majlis Sepetang Bersama Rakyat di Bukit Sentosa dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Tambah Muhyiddin, rakyat dan seluruh jentera BN perlu bersedia untuk menghadapi segala taktik jahat pakatan pembangkang yang kini dilihat berada dalam keadaan cukup terdesak berikutan gelombang sokongan hasil usaha keras kerajaan melakukan pelbagai transformasi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia mengambil iktibar serta pengajaran daripada insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah untuk masing-masing mempertahankan nikmat keamanan dan kesejahteraan agar tidak tergadai.

Tegasnya, kerajaan tidak akan sesekali membiarkan keamanan serta kesejahteraan Malaysia ini diceroboh atau diganggu-gugat oleh pihak luar mahupun dalam negara dan menyeru seluruh rakyat berdiri teguh menyokong segala tindakan tegas tersebut.

"Nilai keamanan serta kesejahteraan ini amat tinggi dan tidak mampu dibeli dengan wang ringgit walau kaya macam mana pun. Oleh sebab itu, BN selaku sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan menggadaikan nikmat ini dan berharap seluruh rakyat bersama kita," katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment