My Add

Tuesday 12 March 2013

TPM dikunjungi menteri New Zealand

 *MUHYIDDIN Yassin merangkap Menteri Pelajaran menerima kunjungan
 hormat Steven Joyce di pejabatnya di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA, ISNIN, 11 Mac, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menerima kunjungan hormat Menteri Pendidikan Tinggi, Kemahiran dan Pekerjaan New Zealand, Steven Joyce di pejabatnya di sini, hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Pine.

Joyce, yang dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia bermula Sabtu lepas, datang untuk menghadiri pameran mengenai peluang pendidikan dan perdagangan di New Zealand, yang diadakan sempena Minggu New Zealand di Malaysia.

Beberapa program telah diatur sempena lawatan berkenaan iaitu menghadiri pameran pendidikan untuk mempromosi institusi pendidikan tinggi New Zealand di Kuching, Sarawak dan mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan Malaysia di Kuala Lumpur bagi membincangkan peluang pelaburan.

Selain itu, Joyce menandatangani perjanjian kerjasama pendidikan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta merasmikan satu acara gala berprofil tinggi serta pertunjukan fesyen.

Kunjungan beliau memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan usaha serta inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan ke arah merapatkan lagi hubungan baik dan kerjasama sedia ada, khususnya berkaitan pendidikan dan perdagangan antarabangsa.

Selepas kunjungan Joyce, Muhyiddin kemudiannya menerima kunjungan hormat daripada 40 anggota Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), yang diketuai presidennya, Datuk K. Kenneth Eswaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment