My Add

Saturday 9 March 2013

TPM gesa rakyat terus beri sokongan kepada BN


 *MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan masyarakat Cina pada majlis
 ramah mesra bersama rakyat di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di George
 Town, Pulau Pinang hari ini. - BERNAMA

GEORGE TOWN, SABTU, 09 Mac, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa rakyat untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pengalaman mentadbir negara dengan baik sedangkan pakatan pembangkang berdepan kesukaran malahan untuk menunaikan janji-janji mereka.

Beliau berkata, rakyat tidak patut memperjudikan nasib dengan memberi mandat kepada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana masih banyak janji pilihan raya di negeri ditadbir mereka belum tertunai.

"Rakyat kena fikir, jangan dok salah pangkah, jangan pangkah (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim...dia (Anwar) kata dah lama BN memerintah, jadi kena ubah.

"Sedangkan kita (BN) dah mentadbir lebih 55 tahun, bermakna kita (BN) sudah ada pengalaman mentadbir. Apa sebab kita nak ubah sedangkan ekonomi negara kita sudah berkembang dan stabil, negara juga selamat, aman serta makmur," katanya semasa berucap pada program santai dan ramah mesra bersama penduduk di Kampung Nelayan Teluk Kumbar, dekat sini.

Pada program itu Muhyiddin turut bersarapan pagi bersama kira-kira 1,000 penduduk kampung yang hadir untuk bertemu timbalan perdana menteri.

Beliau berkata, tidak perlu menggadai negara kepada pihak yang belum tentu mampu mentadbir lebih baik daripada BN hanya kerana kecewa dengan perkara kecil.

"Ada sesetengah permintaan rakyat yang kita tidak dapat laksanakan kerana sumber terbatas tetapi pelbagai bantuan telah kita salurkan untuk meringankan beban dan kemudahan mereka.

"Saya sedar dalam kerajaan ada juga kelemahan dan kesalahan, jadi janganlah hanya satu dua perkara yang kita kecewa, kita terus nak tukar kerajaan sedangkan selama ini kita (kerajaan) sentiasa prihatin dan jaga kebajikan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan semua dasar kerajaan yang memberi manfaat dan diterima baik oleh rakyat akan diteruskan pada masa hadapan.

"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan awal persekolahan, elaun nelayan tetap diteruskan dan ia bukan hanya diberi sebagai gimik pilihan raya, tahun lepas kita bagi juga tetapi tiada pilihan raya," katanya.

Muhyiddin berkata, pelbagai janji yang dibuat oleh pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lepas tetapi sampai hari ini masih belum ditunaikan.

"Macam di Pulau Pinang apa istimewa (ketua menteri) Lim Guan Eng kepada rakyat negeri ini...dia janji bulan dan bintang dan sebagainya tetapi sampai sekarang dia tidak buat pun.

"Sama juga di Selangor, dia (pakatan pembangkang) buat manifesto, tunggu-tunggu janji sampai sekarang rakyat tidak dapat apa pun. Rakyat sudah mula mempersoalkannya, jadi kita kena fikir takkan mereka layak mentadbir negara," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mempersoalkan projek terowong bawah laut kerajaan negeri Pulau Pinang dan menyifatkan ia bukan keperluan rakyat.

"Kerajaan Pulau Pinang buat apa, dia tidak fikir untuk rakyat pun, ni nak buat untuk siapa (terowong)? Jambatan Pulau Pinang dah ada, yang kedua pun belum guna lagi. Kat siapa yang dia nak bagi tidak tahulah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment