My Add

Saturday 9 March 2013

TPM lancar projek rumah mampu milik di Ladang Tanah Merah

NAZARUDIN SHAHARI
TELOK KEMANG, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan pembinaan 150 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Ladang Tanah Merah, Port Dickson dekat sini.

Pembinaan projek rumah mampu milik itu sememangnya dinanti-nantikan sekian lama oleh para pekerja ladang berkenaan yang rata-ratanya terdiri daripada kaum India.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri telah membeli tanah seluas lapan hektar daripada Sime Darby bernilai RM2.5 juta bagi menjayakan projek berkenaan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjuang untuk rakyat dengan menyelesaikan keperluan utama mereka seperti projek perumahan ini.

"Ia bukan saja kejayaan kerajaan menunaikan amanah membantu rakyat tanpa mengira kaum tetapi juga telah dapat berusaha secara berterusan supaya rakyat terus hidup dengan selesa," katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah projek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tanah Merah.

Yang turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek; Pengerusi Felda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan anggota Exco negeri.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan untuk beberapa projek di Parlimen Telok Kemang bernilai kira-kira RM5 juta.

Projek itu katanya adalah membina satu blok bangunan dua tingkat, surau dan lain-lain kerja di Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA) Chuah, Port Dickson berjumlah RM4 juta; menggali dan membersih sistem saliran Bukit Pelandok (RM300,000); membina jalan masuk baharu ke Rumah Orang Tua Jimah (RM60,000) dan menaik taraf Jalan Bukit Pelandok Pintu Air Sungai Bawah (RM60,000).

"Di samping itu kerja-kerja untuk menggali dan membersihkan sungai dan enam alur di Mukim Jimah diperuntukkan belanja RM110,000 dan RM50,000 untuk membina pusat ICT dan tempat letak kereta berbumbung untuk guru SJKT Ladang Tanah Merah.

"Sebanyak RM300,000 diberikan sebagai sumbangan tambahan bagi menaik taraf Masjid Kariah Kampung Paya, Port Dickson dan RM300,000 lagi bagi kerja-kerja baik pulih dan naik taraf tokong Cina Boon Yong di Batu 5 Telok Kemang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment