My Add

Wednesday 27 March 2013

Tukar agama: MAIPP, satu pihak lagi dibenar merayu

PUTRAJAYA, ISNIN, 25 Mac, 2013: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan satu pihak lagi dibenar merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap perintah agar saman pemula seorang wanita keturunan India bagi mencabar kesahihan proses penukaran agamanya kepada Islam ketika masih kanak-kanak, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara membenarkan permohonan MAIPP (pemohon kedua) dan Raimi Abdullah (pemohon pertama) untuk merayu perintah Mahkamah Rayuan yang memutuskan sedemikian.

Raimi ketika itu merupakan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kuorum berkenaan membenarkan permohonan kedua-duanya bagi mendapat kebenaran merayu selepas berpuas hati kes itu kukuh dan sesuai didengar serta diputuskan.

Hakim Md. Raus yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong, dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha membenarkan pemohon-pemohon menghujahkan dua persoalan undang-undang dalam rayuan kelak.

Pada 12 Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan saman pemula yang difailkan oleh Siti Hasnah Vangarama Abdullah, 31, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan.

Isu pokok yang dibangkitkan dalam saman pemula itu ialah sama ada seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mempunyai kapasiti dan tertakluk kepada pihak berkuasa agama untuk menjalani upacara keagamaan termasuk proses penukaran agama.

Sebelum itu, peguam Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili Raimi berhujah, Siti Hasnah memeluk Islam sebanyak dua kali ketika masih kanak-kanak iaitu sewaktu berusia setahun tiga bulan dan tujuh tahun.

Hujah beliau, oleh kerana responden seorang Islam, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman pemula tersebut kerana dia sepatutnya memohon deklarasi Mahkamah Syariah.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Tuan Zubaidah Tuan Mat turut berhujah, Mahkamah Rayuan tidak mengambil kira fakta awal bahawa Siti Hasnah seorang Islam sejak berusia setahun tiga bulan selepas ibu bapanya memeluk Islam di Pahang.

Dalam pada itu, Jannu Babjan yang mewakili MAIPP berhujah, Siti Hasnah mengetahui dari awal bahawa dia seorang Islam kerana namanya seperti yang tertera pada kad pengenalan berbintikan Abdullah.

Peguam Gooi Hsiao Leung yang mewakili Siti Hasnah sebaliknya berhujah, saman itu wajar dikembalikan ke Mahkamah Tinggi kerana bukan melibatkan isu murtad melainkan bertujuan mencabar proses pengislaman ketika anak guamnya masih kanak-kanak.

Menurutnya, saman tersebut bagi mendapat perisytiharan bahawa proses pengislaman ketika masih kanak-kanak bercanggah dengan undang-undang kerana dia tidak mempunyai kemampuan untuk memahaminya ketika itu.

Pada 4 Ogos 2010, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan saman pemula Siti Hasnah atau nama Hindunya, S. Banggarma selepas membenarkan bantahan awal pihak responden.

Dalam saman pemulanya, Siti Hasnah mendakwa, proses pengislaman pada 28 Disember 1989 iaitu tiga hari selepas kematian ibunya dilakukan secara salah kerana ketika itu dia tidak memahami kalimah syahadah yang diucapkan serta kandungan Sijil Akuan Masuk Islam yang ditandatanganinya.

Pada 24 November 2009, Malaysiakini melaporkan sijil kelahiran Siti Hasnah menyatakan wanita itu dilahirkan pada 13 Ogos 1982 di Keratong, Pahang dan anak kepada pekerja estet keturunan India, B. Subramaniam dan R. Latchumy.

Bagaimanapun, MAIPP dalam sidang akhbar pada 5 Disember 2009 menyatakan, wanita terlibat merupakan seorang Islam selepas ibu bapanya memeluk agama itu di Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Pahang pada 30 November 1983 dan menukar nama masing-masing kepada Mohd. Yusof Abdullah dan Siti Aisyah Abdullah.

Isu pengislaman Siti Hasnah itu ditimbulkan dalam satu sidang akhbar selepas wanita berkenaan mendakwa dia terkejut ketika diberitahu bahawa dia seorang Islam semasa ingin mendaftarkan perkahwinannya bersama seorang lelaki beragama Hindu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment