My Add

Tuesday 5 March 2013

UMNO tuntut Tian Chua minta maaf dalam tempoh 7 hari

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Mac, 2013: UMNO telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR Chua Tian Chang (gambar) berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan di sini hari ini berkata tindakan itu diambil melalui Penasihat Undang-Undang parti iaitu Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.

Beliau berkata notis telah dihantar kepada Tian Chua yang juga anggota Parlimen Batu menuntut supaya beliau dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini berhenti membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu tersebut atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.

"Selain itu, beliau juga diminta membuat permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah berkenaan atau kenyataan serupa terhadap Umno," katanya.

Tian Chua juga diminta supaya menerbitkan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah dan permohonan maaf tersebut dalam cara yang ditentukan oleh Umno serta menyediakan satu aku janji bertulis bahawa beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkenaan atau kenyataan yang serupa, katanya.

"Membayar ganti rugi untuk kerosakan reputasi yang teruk dan ganti rugi terhadap kos dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Umno berhubung perkara ini," katanya.

Tengku Adnan berkata notis itu berkaitan kenyataan Tian Chua yang diterbitkan KeadilanDaily.com pada 1 Mac lepas, bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno - Tian' yang mengandungi kata-kata fitnah jahat terhadap Umno.

Tengku Adnan berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan beliau untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan Umno terhadap insiden di Lahad Datu.

"Ini kerana, segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej Umno.

"Ia juga bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik," katanya.

Menurut Tengku Adnan, kenyataan yang dibuat Tian Chua itu jelas berunsur fitnah yang membawa maksud, antaranya, Umno yang merancang insiden pencerobohan di Lahad Datu; Umno berkonspirasi kononnya bersama pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu dan Umno sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden di Lahad Datu.

Sementara itu, Tian Chua telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini selepas mendapat pelbagai ancaman melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan panggilan telefon daripada orang ramai ekoran kenyataannya itu.

Beliau berkata penyiaran nombor telefon bimbitnya di beberapa blog semalam telah menyebabkan beliau menerima ribuan SMS berunsur fitnah dan ugutan.

"Untuk mengelakkan perkara ini berlaku saya tampil membuat laporan mengenai kejadian itu dan berkaitan tuduhan bahawa saya telah menghina pasukan keselamatan negara kita," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Beliau turut menafikan telah mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina peranan pasukan keselamatan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment