My Add

Wednesday 13 March 2013

UPM temui inovasi reka bentuk berasaskan tumbuhan tropika

 *ZULKIFLI Muslim menunjukkan rekaannya dan beberapa anugerah diterima
dalam sidang akhbar mengenai ciptaan jubin berasaskan tumbuhan tropika yang
 direka di Universiti Putra Malaysia, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan satu kaedah inovasi bagi membuat reka bentuk bermotifkan tumbuhan hidup atau dikenali sebagai Konsep Pokok hidup: Transformasi Rekabentuk Berasaskan Tumbuhan Tropika.

Pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM, Dr. Zulkifli Muslim berkata, hasil yang diperoleh itu merupakan alternatif kepada pereka, pengeluar atau individu tempatan mencipta variasi realiti yang menggabungkan wawasan seni, sains serta nilai estetika negara khususnya pada jubin, perabot, bangunan dan sebagainya .

"Kelebihan proses transformasi ini adalah untuk meningkatkan alternatif reka bentuk yang lengkap, teratur dan mudah diubahsuai serta mesra pengguna dengan tidak bergantung sepenuhnya pada kaedah ilustrasi konvensional tetapi diaplikasikan dengan teknik digital.

"Ini sekali gus dapat menggalakkan lebih ramai pereka tempatan menghasilkan produk reka bentuk yang inovatif bercirikan identiti negara menggunakan imej tumbuh-tumbuhan tempatan," katanya yang juga Ketua Projek tersebut dalam sidang akhbar Putra Cipta Siri 1/2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah UPM Holdings Sdn. Bhd, Prof. Dr. Husaini Omar dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Penyelidikan dan Inovasi, Putra Science Park, Prof. Madya Dr. Samsilan Roslan.

Tambah Zulkifli, kaedah yang teratur itu hanya memerlukan teknik ringkas dan menjimatkan masa pereka untuk menghasilkan reka bentuk sesuatu produk dan tidak perlu berpandukan pada sumber idea dan hasil reka bentuk dari luar negara.

Sementara itu, Samsilan berkata, pihaknya menyasarkan kaedah inovasi baharu tersebut dapat dikomersialkan tidak lama lagi.

"Banyak pihak industri berminat dengan kaedah inovasi itu dan kita juga telah mempatenkannya serta memenangi pingat emas dalam Pameran Rekacipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM awal tahun ini.

"Kita juga menjemput pihak yang berminat bekerjasama dengan kami bagi membangunkan kaedah itu untuk dikomersial dan digunakan pihak industri," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment