My Add

Friday 22 March 2013

'Usah ambil tanah kami'

 *SEBAHAGIAN daripada 300 penduduk berkumpul membantah tindakan kerajaan
 Pas Kelantan mengambil tanah yang telah mereka usahakan sejak 30 tahun lalu
 di Kampung Sungai Badong, Kuala Betis, Gua Musang, semalam.

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
GUA MUSANG, KHAMIS, 21 Ma, 2013: Lebih 300 penduduk Kampung Sungai Badong, Kuala Betis di sini, berkumpul bagi membantah tindakan Kerajaan Pas Kelantan mengambil tanah yang diusahakan mereka sejak 30 tahun lalu dan memberikan kepada syarikat swasta.

Mereka menyifatkan perbuatan tersebut sebagai kejam dan menafikan hak mereka yang telah mengusahakan tanah seluas kira-kira 378.8 hektar itu dengan pelbagai tanaman seperti getah dan kelapa sawit.

Menurut mereka, Kerajaan Pas Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Galian jajahan Gua Musang telah meluluskan permohonan tanah itu kepada dua buah syarikat pada November tahun lalu dan mengeluarkan geran pada 28 Januari lalu.

Wakil penduduk, Mustapa Abdul Ghani berkata, penduduk di kawasan itu tidak akan berganjak mempertahankan tanah yang diusahakan mereka sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Dalam masa sama, dia turut mempersoalkan mengapa tanah itu diberi kepada orang luar sedangkan Kerajaan Pas Kelantan sedia maklum penduduk di kawasan berkenaan hanya mengusahakan tanah tersebut untuk mencari rezeki.

"Kami akan terus mempertahankan tanah ini daripada dirampas kedua-dua syarikat itu dan kami juga berharap kerajaan negeri membatalkan pemberian tanah tersebut," katanya ketika di temui di sini hari ini.

Seorang penduduk, Yusof Isma, 62, berkata, dia mula mengusahakan tanah di kawasan itu pada 1973 dan sejak itu, mengerahkan keringat bersama penduduk lain mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit.

"Adakah ini cara kerajaan Islam yang diamalkan kerajaan Pas iaitu dengan merampas hak rakyat sendiri. Kami begitu kecewa dan sedih dengan tindakan kejam kerajaan negeri.

"Kami bertekad akan bersatu hati dengan cara apa sekalipun untuk mempertahan tanah ini. Kami juga tidak akan menerima sebarang pampasan yang diberikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment