My Add

Tuesday 19 March 2013

Usaha capai status negara berpendapatan tinggi berada di landasan betul:  

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Mac, 2013: Usaha ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, yang memakan masa, kini berada pada landasan yang betul, kerana ia "merupakan suatu maraton dan bukan larian pecut."

Sehubungan itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak disusun sebagai program tahunan.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana berkata, pencapaian keseluruhan program itu dapat dilihat melalui catatan 10 petunjuk.

Dalam laporan tahunan ETP 2012 yang dikeluarkan hari ini, PEMANDU berkata, petunjuk itu ialah Projek Permulaan (EPP) yang berkembang kepada 152 dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) berada di landasan yang tepat.

Ia diikuti dengan catatan 49 peratus pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sejak 2009 serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus kukuh meski pun ekonomi global masih tidak stabil, katanya.

Bagi 2012, katanya, KDNK meningkat kepada 5.6 peratus, 5.1 peratus (2011) dan 7.2 peratus (2010), iaitu lebih tinggi daripada yang dicatatkan Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

PEMANDU berkata, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan membolehkan kerajaan mencapai hasil tertingginya dalam sejarah, yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM207 bilion pada 2012 manakala pelaburan kekal utuh dengan pelaburan Malaysia secara keseluruhannya meningkat 19.9 peratus pada 2012 dan kadar perlaburan swasta meningkat lebih daripada tiga kali ganda sejak permulaan ETP. 

Katanya, penggunaan domestik swasta meningkat 7.7 peratus pada 2012 berbanding 7.1 peratus pada 2011, yang mencerminkan peningkatan sentimen dan keyakinan pengguna terhadap kemajuan transformasi ekonomi negara.

Petunjuk seterusnya, katanya adalah pembangunan pasaran modal yang kukuh dengan pasaran saham Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang pada 2012 dengan permodalan pasaran pertukaran meningkat 14 peratus pada Disember 31, 2012 daripada RM1.47 trilion pada akhir 2011.

Kejayaan kerajaan mengurangkan defisit fiskalnya menghampiri bajet seimbang menjelang 2020 dim mana defisit berkurangan secara tekal daripada 6.6 peratus KDNK pada 2009, 5.6 peratus (2010), 4.8 peratus (2011) dan 4.5 peratus pada 2012, katanya.

Menurutnya, pengiktirafan dari organisasi global yang berwibawa seperti Bank Dunia, yang menaikkan ranking global Malaysia dalam “Laporan Melakukan Perniagaan” daripada tangga ke-18 pada 2012 kepada ke-12 pada 2013, mendahului Sweden, Jerman, Jepun dan Switzerland.

Indeks keyakinan AT Kearney untuk Malaysia juga meningkat daripada kedudukan ke-21 pada 2010 kepada kedudukan ke-10 pada 2012, yang mengatasi Perancis, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Kanada dan Turki.

Katanya, pencapaian KPI yang cemerlang menyaksikan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) melepasi sasaran (118 peratus) sementara SRI mencatat pencapaian 93 peratus.

Pencapaian ini telah disahkan oleh PricewaterhouseCoopers, di samping diiktiraf oleh panel pakar antarabangsa, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment