My Add

Tuesday 12 March 2013

Usaha penuhi impian rakyat

Oleh NOR AKMA ABDUL RASHID dan LILIS SURIANI OMAR
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana yang diumumkan kerajaan merupakan usaha berterusan ke arah memenuhi impian serta harapan rakyat.

Malah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, projek pembinaan rumah mampu milik itu adalah tindakan tepat kerana merupakan keperluan utama bagi rakyat berbanding perkara lain.

Beliau berkata, projek itu merupakan cabaran besar bagi kerajaan dalam membantu rakyat yang berpendapatan sederhana agar mampu memiliki rumah sendiri pada masa hadapan.

"Dengan adanya rumah mampu milik ini, kerajaan dapat mengimbangi komposisi penduduk di Kuala Lumpur dengan pelbagai taraf kehidupan tidak tertumpu kepada golongan kaya sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membina 80,000 unit rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana di Lembah Klang bermula tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan membina sebanyak 50,000 unit rumah, manakala 30,000 unit lagi dilaksanakan di bawah program Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Pensyarah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin pula berkata, usaha kerajaan itu dapat merealisasikan hasrat rakyat yang berpendapatan sederhana agar memiliki rumah sendiri.

"Melalui usaha ini, kerajaan dapat meringankan beban rakyat dan memberi semangat kepada mereka agar terus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Saya harap kerajaan akan perluaskan lagi projek-projek sebegini pada masa akan datang demi keselesaan rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pameran Hartanah Malaysia (Mapex), Datuk Ng Seing Liong berkata, projek PR1MA merupakan inisiatif kerajaan menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada golongan berpendapatan sederhana di Lembah Klang.

"Memandangkan di kawasan bandar sukar untuk mendapat tanah, kerajaan telah bertungkus-lumus untuk membina penempatan ini demi membela nasib rakyat," katanya yang juga bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).

Beliau berharap projek itu mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak supaya kesejahteraan hidup rakyat terjamin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment