My Add

Wednesday 13 March 2013

Wan Azizah kena jawab tuduhan media asing

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Sikap membisu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung dakwaan mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah menggambarkan seolah-olah beliau sudah tidak wujud lagi sebagai pemimpin parti itu.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sikap Wan Azizah itu menimbulkan persoalan kerana ia berbeza apabila sesuatu tuduhan dilemparkan terhadap pemimpin UMNO.

"Kalau tuduhan terkena kepada mana-mana pemimpin PKR, mereka akan diam seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sekiranya tuduhan dilemparkan itu adalah terhadap UMNO, jari telunjuk mereka yang panjang itu akan tajam menuding kepada kita.

"Kita hendak tahu juga daripada mulut Wan Azizah apa komen beliau mengenai tuduhan media asing terhadap Anwar," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Flat Sri Johor, Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Wan Azizah yang masih berdiam diri berhubung pelbagai dakwaan media asing tentang penglibatan Anwar dalam pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Shahrizat mengingatkan bahawa sikap membisu Presiden PKR itu akan menimbulkan lebih banyak persoalan kerana parti itu tidak kebal.

"Selaku Presiden PKR, saya cabar Wan Azizah untuk menjawab persoalan itu, tidak kiralah yang dituduh itu benar atau tidak," ujarnya.

Pada masa sama, Shahrizat turut mendesak pihak berkuasa menyegerakan siasatan terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa sebagai dalang di sebalik pencerobohan berdarah di Sabah seperti yang dilaporkan oleh media asing.

"Kenapa perlu melengah-lengahkan masa untuk siasatan sedangkan media asing berterusan membuat laporan mengenai individu berkenaan.

"Pengkhianat negara perlu dikenakan hukuman kerana perbuatan mereka melampaui batas dan tidak boleh dimaafkan apatah lagi kejadian itu telah mengorbankan nyawa perajurit negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment