My Add

Tuesday 12 March 2013

Wanita UMNO intai peluang di kawasan Parlimen Hulu Selangor

KUALA KUBU BAHARU, ISNIN, 11 Mac, 2013: Wanita UMNO sedang mengintai peluang untuk mengetengahkan calonnya di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, calon Wanita UMNO di kawasan tersebut berkemampuan untuk memikul tanggungjawab jika diberi peluang.

"Di Hulu Selangor ada satu kawasan Parlimen dan tiga DUN. Saya percaya ada ruang untuk Wanita UMNO.

"Mereka sangat komited serta mampu menjadi pemimpin yang akan disayangi dan dihormati oleh rakyat, jadi mereka perlu diberi peluang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Medik, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Taman Desa, Ulu Yam, Batang Kali dekat sini hari ini.

Turut hadir, ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan.

Shahrizat yang juga Pengerusi YKN berkata, beliau akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon wanita di kawasan itu pada pilihan raya berkenaan.

Kawasan Parlimen dan DUN di Hulu Selangor dikuasai BN dengan Parlimen Hulu Selangor diwakili Kamalanathan, manakala DUN pula Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Wong Koon Mun (Kuala Kubu Baharu) dan Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali).

Mengenai Program Sentuhan Medik, ia merupakan program perintis YKN dalam perkhidmatan bantuan kesihatan kepada rakyat luar bandar dan bandar seperti pemeriksaan kesihatan percuma serta turut menempatkan sebuah ambulans kepada penduduk di Hulu Selangor.

"Kita akan memperluaskan program Sentuhan Medik ini di seluruh negara, pada Jumaat ini pasukan Sentuhan Medik YKN akan ke Sabah dengan kerjasama sukarelawan iaitu jururawat dan pelajar universiti tempatan di sana untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Sabah," katanya.

Beliau berkata program itu mendapat kerjasama beberapa anggota sukarelawan termasuk doktor hospital kerajaan dan swasta, paramedik, jururawat terlatih serta pelajar perubatan universiti tempatan.

Shahrizat turut menyampaikan bantuan baucar RM200 di bawah Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) @ Hati Rakyat kepada 120 penduduk di Hulu Selangor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment