My Add

Friday 8 March 2013

 Tabung Wira Lahad Datu dilancar

SEMPORNA, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menubuhkan Tabung Wira Lahad Datu bagi membantu anggota keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam kejadian pencerobohan kumpulan militan di Lahad Datu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika mengumumkan penubuhan tabung itu hari ini berkata, operasi tabung itu akan diselenggara Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang mempunyai kira-kira 18,000 jentera di lebih 500 pusat di seluruh negara.

"Tabung ini adalah untuk memastikan anak-anak dan keluarga wira kita yang terkorban dapat dibantu dengan baik.

"Di luar sana kita tidak tahu bagaimana keluarga wira ini akan menjalani hidup seterusnya tanpa ketua keluarga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan ketua-ketua kampung di sini.

Shafie berkata, penubuhan tabung itu adalah tanda penghargaan rakyat Malaysia terhadap pengorbanan anggota keselamatan mempertaruh nyawa bagi memastikan rakyat dapat menjalani hidup dengan selesa dalam negara yang aman dan tenteram.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie menempelak pihak yang bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan anggota keselamatan malah sanggup memperlekeh usaha pihak berkuasa mempertahan kedaulatan negara.

Mengenai masa depan Kampung Simunul iaitu lokasi pasukan keselamatan diserang hendap kumpulan penceroboh militan, beliau berkata kerajaan memang mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan itu bagi menghindarkannya daripada menjadi sarang jenayah dan gejala sosial lain.

Terdahulu, Shafie meninjau Pasar Awam Semporna dan menemui peniaga serta orang awam di sana.

Keadaan di pasar itu kembali normal dan dipenuhi orang ramai yang membeli barangan keperluan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment