My Add

Wednesday 13 March 2013

Yang di-Pertuan  Agong lanjut masa RCI pendatang asing Sabah

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Mac, 2013: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan pelanjutan masa Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah selama enam bulan lagi iaitu dari 21 Mac hingga 20 September tahun ini.

Setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Saripuddin Kasim dalam kenyataan hari ini berkata pelanjutan masa itu bertujuan untuk menyelesaikan siasatan dan penyediaan laporan yang selaras dengan peruntukan Seksyen 5, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau berkata keanggotaan dan terma rujukan suruhanjaya itu sama seperti Tauliah Penubuhan suruhanjaya yang bertarikh 21 September 2012.

Penubuhan dan pelantikan pengerusi serta anggotanya diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Ogos tahun lepas untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Jawatankuasa suruhanjaya itu diberi tempoh enam bulan untuk menyelesaikan siasatan dan mengemukakan laporan hasil siasatan serta cadangan-cadangan yang sesuai kepada Yang di-Pertuan Agong dari tarikh pelantikan anggota panelnya pada 21 September tahun lepas.

Tempoh masa itu akan tamat pada 20 Mac ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment