Pendidik perlu pantas jayakan PPPM - Musa
TUARAN, KHAMIS, 23 Mei, 2013: Golongan pendidik di negeri ini diseru bergerak pantas bagi memacu pembangunan berkualiti tinggi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dirancang oleh pihak Kementerian Pelajaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan dan rakyat meletak harapan tinggi kepada guru-guru untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini.
Katanya, amanah yang diberikan itu seharusnya dipandang berat oleh golongan pendidik untuk berusaha keras menjayakannya, termasuk satu aspirasi murid dalam PPPM iaitu setiap murid mempunyai 'kemahiran dwibahasa'.
"Sehubungan itu, setiap guru perlu mempertingkatkan penguasaan bahasa masing-masing terutama dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, selain mahir dalam bahasa lain seperti Mandarin, Arab serta bahasa etnik yang lain," katanya ketika berucap merasmikan Hari Guru Peringkat Negeri, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seti Yahya Hussin. Yang hadir sama Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Pengarah Pelajaran Negeri, Jame Alip.
Dalam majlis tersebut, seramai tiga individu dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Sabah 2013 iaitu Mohd. Shafie Matzain, Datin Lorna Catherine Perera dan Yakub Uton.
Selain itu, pihak Jabatan Pelajaran negeri turut menyumbangkan sumbangan kepada wira dalam Ops Daulat di Lahad Datu berjumlah RM139,679.70 yang dikutip daripada warga pendidik dan pelajar negeri.
Mengulas lanjut Musa berkata, sempena Hari Guru tahun ini, beliau difahamkan bahawa beberapa program telah dilaksanakan termasuk pelancaran lagu 1Agenda 1Impian, logo Guru Mengajar Murid Belajar dan Inovasi Pen A.
Menurutnya, beliau percaya bahawa inovasi tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan semangat berkerja di kalangan guru-guru, tetapi turut mempunyai nilai komersial untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, inovasi seumpama itu perlu sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi kecemerlangan di bilik darjah mahupun dalam pengurusan jabatan serta sekolah, sekali gus memperkasakan PPPM yang dirancangkan oleh pihak kementerian. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment