My Add

Thursday, 20 June 2013

12 warga asing ditahan dalam Ops Kutip

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Jun, 2013: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menahan 10 warga Myanmar dan dua warga Bangladesh dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur di sini semalam.

Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, James Musa Singa berkata, operasi `Ops Kutip’ itu disertai lapan anggota dan pegawai bermula pukul 3.30 petang bagi memeriksa warga asing yang menjalankan perniagaan keperluan harian di pasar itu.

"Sebanyak 50 warga asing diperiksa dan pihak kami telah menahan 12 warga asing terdiri daripada sembilan lelaki, satu wanita warga Myanmar serta dua lelaki warga Bangladesh.

"11 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah dan seorang lagi di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan permit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua tahanan tersebut berusia antara 20 hingga 50 tahun yang menjalankan perniagaan tanpa lesen seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan atau mengambil upah memunggah barang ke dalam lori dan pasar.

"Hasil soal siasat awal yang diperoleh semasa operasi daripada orang awam dan pelanggan, barang-barang jualan tersebut sebahagian besarnya adalah barang buangan, atau lebihan yang dikitar semula.

"Kebanyakan pembeli ialah pengusaha gerai dan restoran yang mementingkan keuntungan kerana harga jualan barang-barang tersebut dua kali ganda lebih murah daripada yang dijual di dalam pasar," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment