Aziz Sattar tubuh yayasan bantu anak seni tercicir
TEMERLOH, RABU, 19 Jun, 2013: Pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu anak-anak seni yang tercicir daripada pendidikan dan yang memerlukan bantuan akibat terlantar sakit atau hidup terbiar.
Yayasan dikenali sebagai Yayasan Datuk Aziz Sattar itu juga bersedia membantu rakyat negara ini yang ditimpa kesusahan dan melarat.
Kata Aziz, penubuhan yayasan berkenaan susulan idea Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) yang dibangkitkan pada mesyuarat persatuan itu tahun lalu.
"Hasil perbincangan, kami sebulat suara mengambil keputusan untuk menggerakkan yayasan tersebut yang bukan sahaja untuk membantu anak-anak cemerlang dalam pelajaran tetapi turut meliputi semua rakyat negara ini yang hidup melarat dan memerlukan bantuan.
"Kami mengambil inisiatif untuk menubuhkan tabung atau yayasan ini kerana kami melihat ramai anak-anak penggiat seni memerlukan bantuan kerana mereka tercicir dalam pelajaran. Kalau tidak ada kelulusan, bagaimana mereka boleh meneruskan hidup dengan selesa pada masa depan,'' kata Aziz. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment