My Add

Wednesday, 19 June 2013

Cadang Presiden MIC dihad dua penggal

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Jun, 2013: MIC bercadang mengehadkan tempoh khidmat jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden kepada dua penggal sebagai usaha memperkuatkan parti itu.

Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel berkata, pindaan dalam Perlembagaan itu bertujuan mentransformasikan parti dan meningkatkan keahlian.

“Kita mahu pastikan jawatan Presiden, Timbalan Presiden serta Naib Presiden parti dihadkan kepada dua penggal atau enam tahun sahaja bagi memudahkan proses transformasi parti.

“Demi memperkuatkan parti serta meningkat penyertaan ahli, MIC bercadang melakukan pemindahan tersebut selepas pemilihan parti nanti," katanya dalam sidang akhbar mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di sini hari ini.

Jelas beliau, pihaknya juga mahu mempertimbangkan semula pemilihan ketua bahagian MIC yang selama ini hanya dipilih oleh ketua cawangan sahaja.

“Saranan itu akan memberi peluang kepada semua ahli cawangan MIC memilih ketua bahagian mereka. Bagaimanapun, cadangan ini akan diperhalusi dan dirujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas pemilihan parti nanti," katanya.

Dalam pada itu, Palanivel mengumumkan pemilihan parti kali ini akan menjadi penggal terakhir beliau memimpin jawatan Presiden sekiranya menang.

Katanya, beliau akan menjadi Presiden parti untuk penggal kedua sekiranya diberi mandat oleh ahli-ahli parti sebelum berundur.

“Jika saya dipilih sebagai Presiden sekali lagi, ia akan menjadi penggal terakhir saya. Selepas itu saya akan berundur daripada jawatan tersebut kerana telah berusia 64 tahun. Ini juga adalah kali pertama saya melalui proses pemilihan parti untuk jawatan Presiden," katanya.

Sementara itu, Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, pihaknya telah menetapkan 1 September dan 22 September ini sebagai hari penamaan calon dan pemilihan Presiden bagi partinya.

Katanya, MIC akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memastikan proses pemilihan Presiden berjalan lancar.

“Kira-kira 3,900 cawangan MIC akan memulakan pemilihan ketua cawangan di negeri Perlis, Kelantan, Terengganu , Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Pahang manakala Sabah pada 12 Julai hingga 4 Ogos depan.

“Kemudian diikuti dengan pemilihan ketua bahagian di setiap negeri terbabit pada akhir September dan awal Oktober ini.

“Kita sebelum ini berbincang untuk mengadakan semua proses pemilihan dan mesyuarat parti pada Januari tahun depan, namun ROS menggesa supaya diadakan sebelum 31 Disember tahun ini," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment