Jawatan semua Yang Dipertua DPMM kekal - Mahkamah
Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
PUTRAJAYA, KHAMIS, 20 Jun, 2013: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan, kesemua Yang Dipertua (YDP) Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan ahli jawatankuasanya kekal dalam jawatan masing-masing sehinggalah kes saman pemula 12 pemimpin negeri, selesai.
Menurut kenyataan akhbar DPMM, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan tersebut pada 18 Julai depan.
Pada 12 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula bertarikh 4 Jun 2012 oleh 12 pemimpin negeri DPMM bagi mendapatkan perisytiharan bahawa mesyuarat agung tahunan DPMM yang diadakan pada 2010 adalah tidak sah dan terbatal.
Hakim Datuk Rosnaini Saub pada tarikh tersebut menolak kes yang difailkan mereka ke atas Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Mohamed Al-Attas; Setiausaha Agungnya, Hanafee Yusoff dan Bendahari Agung, Norsyahrin Hamid Hamidon sebagai defendan pertama hingga ketiga dengan kos RM10,000.
Pihak pemohon terdiri daripada enam Yang Dipertua (YDP) DPMM negeri, bersama-sama dengan setiausaha kehormat masing-masing.
YDP tersebut ialah Datuk Md. Ramly Mohamad (Melaka), Datuk Ahmad Yusof (Negeri Sembilan), Tan Sri Rozali Ismail (Selangor), Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar (Terengganu), Datuk Tengku Zulkifly Tengku Ahmad (Pahang) dan Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah (Perak). - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment