My Add

Wednesday, 19 June 2013

'Kenaikan 30% adalah mustahil'

Oleh ROSALINDA MD. SAID
 
Add caption
KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Jun, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menolak permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk menaikkan tambang sebanyak 30 peratus pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, bagaimanapun pihaknya bersetuju untuk membenarkan pengusaha mengenakan caj tambahan (surcaj) sebanyak 10 peratus berkuat kuasa dari 8 Julai hingga 8 September untuk semua bas ekspres dan tambahan.

Mengulas keputusan tersebut, katanya, langkah itu dipercayai dapat membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna terutama semasa Aidilfitri.

"SPAD memandang berat tindakan pengendali bas ekspres yang enggan menjual tiket bagi musim perayaan akan datang. Mereka tidak seharusnya mengambil kesempatan semasa Aidilfitri untuk mendesak SPAD menaikkan harga tiket sehingga 30 peratus.

"Permintaan ini agak mustahil ditunaikan sebelum hari raya kerana proses perundingan dan kajian komprehensif masih dijalankan. Namun SPAD prihatin dan sedia maklum di atas peningkatan kos operasi yang ditanggung oleh mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan PMBOA yang kekal dengan pendirian mahu menaikkan tambang sebanyak 30 peratus dan memilih untuk tidak menjual tiket lebih awal pada Julai serta Ogos sehingga SPAD menuruti tuntutan mereka.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, SPAD kini dalam peringkat akhir kajian semula tambang bas ekspres setelah mengambil kira kepentingan rakyat dan reaksi persatuan pengguna serta kos operasi ditanggung oleh pengendali bas ekspres.

"Keputusan mengenai kenaikan harga tiket ini hanya akan diumumkan sebelum hujung tahun," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hamid memberi amaran kepada semua pengendali bas supaya tidak mengambil tindakan secara kartel untuk tidak menjual tiket kerana tindakan itu adalah salah di bawah Akta Persaingan 2010.

Menurutnya, SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan syarat-syarat pelesenan dan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap para pengendali bas dapat mematuhi syarat-syarat pelesenan dan menjual tiket seperti biasa supaya pengguna boleh merancang perjalanan mereka lebih awal.

"SPAD percaya kebenaran kepada pengendali bas mengenakan surcaj 10 peratus pada musim perayaan dan hasil kajian semula tambang yang bakal diumumkan dapat mewujudkan situasi menang-menang apabila tambang baharu bukan sahaja tidak membebankan pengguna, sekali gus membantu pihak pengendali bas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment