Kumpulan penyamun Amerika Latin tumpas, dua ditahan
KUALA LUMPUR, RABU, 19 Jun, 2013: Satu kumpulan penyamun didalangi warga Amerika Latin yang menyasarkan mangsa yang baru mengeluarkan wang tunai di bank, tumpas ekoran penahanan dua rakyat negara itu pada Jumaat lalu.
Kedua-dua suspek berusia 30-an itu diberkas sepasukan anggota polis peronda ketika sedang menyamun seorang mangsa di sebuah stesen minyak di Jalan Ampang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, siasatan mendapati modus operandi kumpulan tersebut adalah dengan mengenal pasti mangsa yang hendak mengeluarkan wang tunai di bank.
Katanya, suspek kemudian akan memancit tayar kenderaan mangsa sebelum mengekorinya.
"Dalam kejadian pukul 3.30 petang di Jalan Ampang itu, mangsa yang baru mengeluarkan wang RM30,000 dari sebuah bank terpaksa berhenti di sebuah stesen minyak kerana tayar kenderaannya pancit.
"Tiba-tiba muncul suspek yang menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard lalu menyamun sebuah beg berisi wang tunai berkenaan.
"Kebetulan ada anggota yang membuat rondaan di situ lalu mengejar suspek itu sehingga ke Jalan Tun Razak dan berjaya memberkas mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu disewa dan polis turut menjumpai beberapa nombor pendaftaran palsu, pemutar skru dan paku yang dipercayai digunakan untuk memancit tayar kereta.
Dalam pada itu, Chin Wah memberitahu, polis menerima sebanyak 17 laporan kes jenayah samun dan curi melibatkan warga asing sejak 2011 sehingga setakat ini.
"Polis mengesan trend warga asing yang menjadikan negara ini untuk melakukan jenayah menggunakan kepakaran mereka mengikut modus operandi tertentu," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sembilan kes turut diterima melibatkan culik rakan senegara untuk meminta wang tebusan dan tiga kes berkaitan pecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM). - UTUSAN
No comments:
Post a Comment