My Add

Wednesday, 19 June 2013

Menteri 4 negara bincang isu jerebu

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Jun, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menteri-menteri dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand akan bertemu di negara ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu jerebu.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan tarikh pertemuan tersebut bakal diadakan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, beberapa kawasan di selatan Semenanjung Malaysia masih mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat berikutan pencemaran jerebu merentasi sempadan.

Menurut agensi berkenaan, maklumat yang diterima daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di Riau, Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke bahagian selatan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Najib menerusi paparan Twitternya sebelum itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam kejadian ribut di Jalan Macalister, Pulau Pinang, 13 Jun lalu.

"Malaysia bersedih bersama anda," ujarnya.

Dalam kejadian itu, rod penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO patah dipukul angin kencang, seterusnya menghempap lapan kenderaan yang lalu di jalan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment