My Add

Wednesday, 19 June 2013

Mesyuarat perundingan bajet tumpu kewangan Islam

KUALA LUMPUR, RABU, 19 Jun, 2013: Mesyuarat perundingan Bajet 2014 semalam menyaksikan kewangan Islam diberi tumpuan utama dalam perbincangan tersebut.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah berkata pertumbuhan pesat pasaran sukuk global, yang diterajui Malaysia dalam beberapa tahun ini, menjadikan ia sebagai sektor penting bagi kerajaan.

"Kami berbincang tentang sukuk tani untuk membantu syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti perladangan mengumpulkan modal bagi membiayai perniagaan mereka, bersama-sama dengan bentuk sukuk lain.

"Kami juga mencari kaedah lain untuk memperkenalkan produk baharu dalam pasaran sukuk pada tahun-tahun akan datang. Ini bagi membolehkan Malaysia terus menjadi peneraju industri," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Takaful Dunia Ke-4 : Sidang Kemuncak Takaful Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Mohd Irwan berkata pasaran modal Islam Malaysia memberi sumbangan besar kepada pembangunan pasaran modal Islam global.

Pada masa yang sama, beliau berkata, negara-negara bukan Islam seperti Jepun dan Korea tertarik untuk belajar dari Malaysia tentang bagaimana untuk memperkenalkan pembiayaan Islam bagi mengumpul modal mereka sendiri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment