My Add

Wednesday, 19 June 2013

MyCC diarah siasat PMBOA di bawah Akta Persaingan

 * HASAN Malek memakai apron sambil menikmati secawan kopi selepas sidang akhbar mengenai Suruhanjaya Persaingan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Jun, 2013: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diarahkan menyiasat sama ada cadangan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk mengehadkan pengeluaran dan memanipulasi penjualan tiket bas menjelang Aidilfitri melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, arahan tersebut dikeluarkan apabila PMBOA sebelum ini mengugut untuk menggantung penjualan tiket sekiranya permintaan mereka untuk menaikkan tambang tidak dipenuhi.

"Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, pakatan dan ugutan oleh ahli-ahli PMBOA ini boleh dilihat sebagai satu cubaan untuk mengehadkan pengeluaran tiket dan seterusnya memanipulasikan pasaran.

"Tindakan PMBOA itu disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 yang melarang terhadap perjanjian antipersaingan dan seterusnya membawa kepada hukuman denda maksimum sebanyak 10 peratus daripada perolehan syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan ke ibu pejabat Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini hari ini.

PMBOA sebelum ini dilaporkan mahu menaikkan kadar tambang bas ekspres mencecah 30 peratus dan memilih tidak menjual tiket seawal bulan Julai dan Ogos menjelang Aidilfitri selagi kerajaan tidak menuruti permintaan mereka.

Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali mendakwa kenaikan itu bukan disebabkan musim perayaan Aidilfitri, tetapi sebagai semakan semula yang biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali sejajar dengan peningkatan operasi yang didakwa kini mencecah sehingga 36 peratus.

Malah, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mengecam PMBOA kerana tetap berkeras mahu menaikan tambang bas ekspres yang dilihat agak keterlaluan.

Mengulas lanjut, beliau kecewa dengan tindakan PMBOA yang berkeras untuk menaikkan tambang sebanyak 30 peratus yang disifatkannya sebagai keterlaluan.

Tegas beliau, ugutan untuk menggantung penjualan tiket bas itu dilihat mampu memberi kesan serius kepada pengguna lebih-lebih lagi ketika umat Islam akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya berharap PMBOA dapat mempertimbang semula permintaan mereka dan seterusnya membantu mengurangkan beban pengguna dengan tidak menaikkan tambang bas," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment