My Add

Thursday, 20 June 2013

Penyajak 'orang hulu' Terengganu maut dalam nahas

 * ANGGOTA penyelamat mengangkat jenazah Ibrahim Mohd. Taib, 54, (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Km 38 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Batu 23, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini. - UTUSAN
HULU TERENGGANU, KHAMIS, 20 Jun, 2013: Aktivis seni Terengganu yang popular dan sering mendeklamasikan sajak orang hulu, Ibrahim Mohd. Taib, 54, maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 38 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Batu 23 dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu, mangsa yang memandu kereta perodua Kancil dari arah Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu dikatakan telah dirempuh sebuah kereta Proton Gen2 dari arah bertentangan yang dipercayai terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan lalu melanggar kereta mangsa.

Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa melambung dan tersangkut di atas penghadang bahu jalan di laluannya dan mengakibatkan mangsa cedera parah di bahagian kepada serta meninggal di tempat kejadian.

Menurut anak mangsa, Mohd. Nazrin, 17, bapanya yang merupakan seorang pembantu veterinar di Jabatan Haiwan keluar daripada rumah kira-kira pukul 10.30 pagi untuk ke tempat kerja.

Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, dia yang ketika itu berada di gerai ibu saudaranya menerima panggilan daripada bapa saudaranya yang memaklumkan kejadian berkenaan.

Ujar anak ketiga daripada empat beradik itu, tiada petanda pelik yang dilihat pada bapanya namun pada kebiasaanya setiap pagi bapanya akan mengejutkan dia untuk ke sekolah namun berbeza pada hari ini.

"Biasanya setiap pagi ayah akan kejut saya untuk bangun ke sekolah tetapi hari ini buat pertama kali saya pula kejut dia untuk pergi ke kerja kira-kira pukul 7 pagi tadi. Itu lah kali terakhir saya pandang wajah dia sebelum kejadian ini berlaku," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ismail Muslim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan bedah siasat kini sedang dijalankan ke atas mangsa manakala pemandu Proton Gen2, Rosman Abd. Rasul, 24, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment