Polis cari 4 lelaki terbabit merusuh
Oleh MALINDA ABDUL MALIK
PULAU PINANG, SELASA, 18 Jun, 2013: Polis memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata dan membakar sebuah kereta serta dua motosikal di Ladang Changkat, Nibong Tebal di sini kelmarin.
Mereka yang dicari ialah S. Vijayan, 33, beralamat terakhir di Nombor 2725, Ladang Byram, Nibong Tebal dan empat rakannya yang dikenali sebagai Saravanan, Jacob serta Esso dan tinggal di kawasan sama.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, sekumpulan lelaki bertindak menahan tiga lelaki lain bagi menyelesaikan persengketaan lama.
Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa berjaya melarikan diri sebelum kenderaan yang dinaiki mereka dibakar kumpulan terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kumpulan itu yang tidak puas hati kemudian menyerang rumah salah seorang kakak mangsa yang terletak berhampiran.
Katanya, suspek menyerang menggunakan parang dan kayu menyebabkan wanita itu dan anaknya cedera di kepala.
"Wanita itu bengkak di kepala akibat dipukul dengan kayu manakala anaknya pula terpaksa menerima tujuh jahitan di dahi.
"Bagaimanapun, tindakan pantas pihak polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 17 hingga 56 tahun yang dikatakan terlibat dalam kejadian tersebut," katanya kepada pemberita hari ini.
Sehubungan itu, Mazlan memohon bantuan orang ramai bagi menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai maklumat mengenai suspek.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 147, Seksyen 117 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment