Polis, SKMM bincang tindakan hina Nabi
PUTRAJAYA, SELASA, 18 Jun, 2013: Polis mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menyelaras tindakan terhadap pengguna media sosial yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW dalam komen mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun secara umumnya perkara itu berada di bawah bidang kuasa SKMM, namun penyelarasan dibuat bagi memudahkan polis mendakwa mereka yang terlibat mengikut akta tertentu.
Beliau berkata, ini kerana jika tindakan segera tidak diambil, komen yang berbentuk menghina Nabi Muhammad SAW itu akan mencetuskan 'gangguan' kepada agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam satu persidangan media selepas bertemu Anggota Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran (LPPPQ) serta Anggota Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran (Lujnah Tasheh) di sini.
Pada pertemuan itu, beliau memutuskan untuk mempertingkat tanggungjawab LPPPQ dan Lajnah sebagai penasihat berkaitan hal ehwal agama kepada KDN.
"Ini kerana kita mahu menyelaras aspek perundangan yang dikuatkuasakan oleh semua jabatan dan agensi di bawah KDN supaya turut selari dengan undang-undang syariah sedia ada di peringkat Persekutuan dan juga negeri," katanya.
Beliau berkata, dua badan itu juga diminta memberi input serta nasihat berkaitan modul pendidikan agama kepada banduan Islam di seluruh negara untuk membekalkan mereka dengan asas agama bagi memudahkan mereka diterima masyarakat.
Ahmad Zahid seterusnya berkata, KDN masih mengesan beberapa pihak yang mengimport al-Quran yang dicetak di luar negara, yang belum di"tasheh" atau disahkan semua huruf oleh Lajnah Tasheh.
Beliau berkata, tanpa penilaian LPPPQ dan Lajnah Tasheh dari KDN, Al-Quran cetakan luar negara dikhuatiri menampilkan ejaan tidak betul sekali gus membawa maksud terjemahan yang salah.
Difahamkan sejak awal tahun sehingga kini, 850 naskah Al-Quran cetakan luar negara dirampas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang dan Johor Baharu kerana tidak mendapat kelulusan KDN, dengan 80 peratus daripadanya dari Indonesia manakala yang lain adalah dari Thailand.
Sementara itu, merujuk khabar angin yang ditimbulkan beberapa blogger dan portal berita berhubung pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indonesia baru-baru ini, Ahmad Zahid menafikannya.
"Setakat yang saya tahu, walaupun kami bertiga ada di sana (Indonesia), namun kami tidak bertemu.
"Saya ingin nafikan pertemuan Najib dengan Anwar, atau kononnya saya ada bersama dalam pertemuan itu," katanya sambil menambah ketiga-tiga mereka mempunyai program berbeza semasa di Indonesia.
Portal berita itu, antara lain, melaporkan bahawa difahamkan Zahid diberi tanggungjawab untuk mengatur perjumpaan antara Najib dan Anwar semasa di Indonesia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment