Pondan ditemui mati dijerut tali pinggang
Oleh LILIS SURIANI OMAR
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 Jun, 2013: Seorang lelaki berperwatakan wanita dijumpai mati tertiarap di atas tilam rumahnya dalam keadaan leher dijerut dengan menggunakan tali pinggang di sebuah pangsapuri di Lorong Jugra, Jalan Klang Lama di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd. Azlee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10 malam daripada rakan mangsa yang datang ke rumahnya sebelum menemukan mayat lelaki itu.
"Mangsa dikenali sebagai Jefrri Musa berumur 25 tahun dan bekerja sebagai jurujual sementara di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
"Dua rakannya datang ke rumah selepas mendapati dia tidak hadir ke tempat kerja selama dua hari selain tidak dapat dihubungi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pintu jeriji rumah mangsa berkunci namun pintu kayu sedikit terbuka. Rakan mangsa kemudian mendapatkan ibu saudara lelaki berkenaan yang tinggal bersebelahan untuk membuka pintu menggunakan kunci pendua.
"Mangsa yang tinggal berseorangan di rumah milik arwah bapanya itu ditemukan dalam keadaan separuh bogel memakai baju tidur dengan mengenakan rambut palsu berwarna perang.
"Semasa dijumpai, televisyen dan kipas angin masih terpasang namun telefon bimbit serta dompet mangsa tiada," katanya.
Tambah Mohd. Azlee, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment