Salah guna lencana polis makin meningkat
Oleh FARHANA JONI
KUCHING, KHAMIS, 20 Jun, 2013: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) negeri mendakwa semakin banyak pengguna di bandar raya ini menyalahgunakan lencana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan meletakkan lambang tersebut pada kenderaan.
Pemangku Pengerusinya, Jack Joni berkata, pihaknya percaya tindakan tidak bertanggungjawab itu bertujuan memudahkan pemilik kenderaan melepasi sekatan jalan raya meskipun melanggar undang-undang.
Katanya, penguat kuasa undang-undang termasuk polis perlu menjalankan siasatan terhadap individu yang menjual dan menipu pengguna dengan menjual lencana tersebut.
"Perkara ini sebenarnya telah lama berlaku namun tiada sebarang tindakan diambil bagi menghentikan perbuatan tersebut daripada berleluasa hingga mengelirukan orang awam.
"Lencana, lambang atau logo polis sepatutnya hanya boleh diletakkan pada kenderaan jabatan atau kenderaan pegawai dengan kelulusan jabatan," katanya dalam sidang akhbar semalam.
Mengulas lanjut Jack berkata, orang awam dinasihat supaya tidak terpedaya dengan tawaran daripada mana-mana pihak yang kononnya mempunyai permit untuk menjual lencana polis.
Katanya, orang awam juga harus ingat bahawa polis trafik atau anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan menutup mata jika mereka melakukan kesalahan lalu lintas walaupun kenderaan tersebut memasang lencana polis. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment