My Add

Wednesday, 19 June 2013

Skuad khas tangani jenayah, vandalisme

Oleh MUHAMMAD NAQIB NOR SAID

 * HISHAMUDDIN meninjau penyukat paras air berdekatan rumah pam di sepanjang laluan motosikal antara stesen LRT Universiti dan Tol Batu Tiga Shah Alam, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Jun, 2013: Isu keselamatan laluan khas motosikal mendapat perhatian Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyarankan agar satu skuad khas dibentuk bagi menangani masalah jenayah dan vandalisme di laluan berkenaan.

Menurutnya, skuad tersebut boleh membabitkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), namun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Saranan tersebut hasil tinjauan beliau di laluan khas motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Dalam tinjauan tersebut, beliau bersama-sama Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof menunggang sendiri motosikal dari laluan berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti sehingga ke Plaza Tol Batu Tiga di Shah Alam iaitu kira-kira 12 kilometer.

Sepanjang laluan itu, beliau berhenti di beberapa lokasi yang dikenal pasti bermasalah antaranya di rumah pam di terowong berhampiran kilang Motorola, Sungai Way yang seringkali berlaku banjir.

Hishammuddin turut melihat banyak kemudahan asas seperti lampu dan pembahagi jalan rosak selain jenayah samun yang mengancam keselamatan penunggang motosikal terutama pada waktu malam.

"Saya difahamkan penghadang jalan..'wiring'..(pun boleh) hilang (akibat) budaya vandalisme dan kecurian," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas tinjauan berkenaan.

Melalui tinjauan itu juga katanya, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan antaranya menambah baik laluan dan tebing cerun, menyelenggara rumah pam di terowong dan kawasan yang ditakungi air serta menyelenggara lampu jalan di lorong motosikal.

Justeru katanya, peruntukan RM10 juta untuk menambah baik keseluruhan Lebuh Raya Persekutuan turut akan melibatkan laluan khas berkenaan mengikut jenis keperluan yang dimohon oleh agensi yang bertanggungjawab menyelenggara Lebuh Raya Persekutuan.

"Setakat ini kami sudah mengenal pasti untuk menyalurkan RM1.1 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan lampu dan RM300,000 untuk penyelenggaraan rumah pam.

"Peruntukan yang selebihnya masih dalam proses perbincangan bersama-sama pihak yang terlibat menyelenggara lebuh raya ini," katanya.

Menurut Hishammuddin, masih banyak yang perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi merealisasi usaha mewujudkan laluan khas motosikal yang bersifat mesra pengguna.

Beliau seterusnya menekankan kepentingan untuk semua pihak bekerjasama dalam menyelesaikan isu membabitkan laluan khas motosikal di seluruh Malaysia yang meliputi jarak 200 kilometer.

Ini kerana tegasnya, jika tugas itu hanya dipertanggungjawabkan kepada kementerian, sudah pasti penambahbaikan tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment