![]() |
* MUSA Aman (kanan) berbincang sesuatu dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor (dua dari kanan) sambil ditemani Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tiga dari kiri) dan Datuk Seri Yahya Hussin (empat dari kanan) di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam. |
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa berdasarkan fakta dan sejarah, 'Sultan Sulu' tidak berhak sama sekali untuk menuntut negeri Sabah yang telah merdeka di bawah Malaysia.
"Jadi berdasarkan asas-asas sejarah, kerajaan tidak akan membiarkan walau seinci pun tanah Sabah dituntut oleh Sultan Sulu III atau mana-mana pihak," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) yang bertanya adakah benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas Sabah dan siapakah yang telah disyaki sebagai dalang kepada pencerobohan tersebut.
Menurut Musa, berdasarkan buku Putting to rest the claim to Sabah by self proclaimed Sultanate of Sulu, Peguam Negara menyatakan bahawa status negeri Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia yang sah adalah berdasarkan kepada dua asas utama.
Katanya, berdasarkan ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, Sultan Sulu pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang dikenali sebagai Sabah selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan.
"Sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada 1962 dan 1963 telah terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold.
"Malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melaksanakan satu lagi pungutan suara dimana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalang pencerobohan di Lahad Datu adalah Datu Agbimuddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih disiasat. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment