![]() |
* POLIS menangkap salah seorang daripada empat penjenayah yang bersembunyi di atas siling sebuah rumah dua tingkat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. |
Itu yang berlaku kepada tiga daripada empat penjenayah apabila mereka akhirnya diberkas selepas menyamun dua kedai di daerah ini, semalam dan hari ini.
Empat penjenayah terbabit sebelum itu bertindak nekad melarikan diri sebaik sahaja kenderaan dinaiki mereka dikepung sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Taman Impian Jaya, Bukit Mertajam dekat sini petang ini.
Mereka meninggalkan kereta Proton Waja yang dinaiki dan menyelinap ke taman perumahan itu yang baharu diduduki.
Bagaimanapun, tiga daripada penjenayah yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an terperangkap ketika bersembunyi di atas siling sebuah rumah dua tingkat yang belum dihuni di taman tersebut.
Mereka ditangkap kira-kira pukul 4.20 petang, kira-kira dua jam selepas menyamun sebuah kedai menjual telefon bimbit di Sungai Bakap pada pukul 2.45 petang ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, dalam kejadian itu, penjenayah melarikan wang tunai RM1,500 dan sejumlah telefon bimbit.
Beliau berkata, kumpulan yang sama iaitu tiga lelaki bersenjatakan parang terbabit sebelum itu menyamun sebuah kedai serbaneka di sini kira-kira pukul 10.50 malam tadi.
Katanya, mereka yang bertopeng muka turut menetak seorang mangsa lelaki berusia 24 tahun dengan sebilah parang dan melarikan wang tunai RM17,000 serta sejumlah rokok.
"Dalam kejadian malam tadi, mangsa cedera di lengan kiri dan kini dirawat di Hospital Sungai Bakap," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Simpang Ampat selepas penangkapan tiga penjenayah itu.
Menurut Shafien, ketika melarikan diri di Taman Impian Jaya, penjenayah itu terserempak dengan sekumpulan anggota SRS lalu melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong sebelum tiga daripada mereka berjaya ditangkap.
"Polis percaya kumpulan yang sama terlibat dalam kes samun di kedai serbaneka di sini malam tadi dan kedai menjual telefon bimbit di Sungai Bakap sebelum ditangkap.
"Seorang lagi ahli kumpulan itu sedang diburu dan kita percaya suspek akan diberkas dalam tempoh terdekat," katanya.
Shafien memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment