UMNO Wilayah mahu Najib, Muhyiddin kekal
KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 Jun, 2013: UMNO Wilayah Persekutuan hari ini berpendapat dua jawatan tertinggi parti yang masing-masing disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabsee berkata, Najib dan Muhyiddin selaku Presiden dan Timbalan Presiden masing-masing, adalah gandingan yang baik untuk memajukan parti, lebih-lebih lagi mereka 'orang lama' dalam politik UMNO.
"Kenapa harus dipertandingkan kerana kita melihat gandingan Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin begitu baik sekali sehinggakan UMNO dapat menambah bilangan kerusi daripada 79 kepada 89 kerusi atas keyakinan orang-orang Melayu terhadap UMNO," katanya kepada pemberita di Pusat UMNO Bahagian Cheras dekat sini.
Bagaimanapun, Syed Ali berkata, sebagai sebuah parti demokrasi, UMNO tidak akan menghalang jika ada anggota yang berhasrat menandingi dua jawatan tertinggi itu, akan tetapi mereka wajar melihat keupayaan diri terlebih dahulu.
"Tengok cermin dahulu, jangan ikut hawa nafsu dan perasaan. Kalau tanya pandangan saya sebagai anggota parti saya lebih gemar jawatan nombor satu dan dua ini ini tidak dipertandingkan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment