My Add

Wednesday, 19 June 2013

Usahawan Bangladesh diculik rakan senegara

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ dan AFZAN SULAIMAN

SUBANG JAYA, SELASA, 18 Jun, 2013: Seorang peniaga perabot dari Bangladesh berdepan situasi mencemaskan apabila diculik rakan senegaranya yang bersekongkol dengan warga tempatan baru-baru ini.

Mangsa berusia 34 tahun dan baru sehari tiba dari negara asalnya diculik tujuh individu termasuk seorang wanita pada 11 Jun lalu ketika berehat bersama isterinya di rumah sewa mereka di Saujana Puchong.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, rakan mangsa kemudian membuat laporan polis keesokan hari sekitar pukul 10 pagi apabila isteri mangsa menerima panggilan daripada suspek meminta wang tebusan sebanyak RM150,000.

"Bertindak atas laporan itu, polis kemudian mengesan mangsa yang merupakan pemilik beberapa kedai perabot dan disembunyikan dalam sebuah rumah kira-kira dua jam selepas laporan dibuat.

"Hasil serbuan di sebuah rumah berdekatan rumah mangsa, polis menahan empat suspek termasuk salah seorang daripadanya rakan senegara mangsa," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya memberitahu, polis sedang mengesan tiga lagi lelaki yang terlibat dalam penculikan itu kerana ketika serbuan mereka dapat melepaskan diri.

"Walaupun kes ini melibatkan warga asing, polis berusaha menyelesaikan jenayah ini dan dapat diselesaikan segera setelah laporan polis dibuat dengan maklumat yang lengkap," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment