My Add

Thursday, 20 June 2013

Warga Pakistan dipenjara 18 bulan, satu sebatan kerana samun

KUALA LUMPUR, RABU, 19 Jun, 2013: Seorang warga Pakistan dihukum penjara 18 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba menyamun dan mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita, Januari lalu.

Hakim Dazuki Ali memerintahkan Irfan, 26, seorang pengawal keselamatan, diperintah menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada 16 Jan lalu selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini.

Irfan didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nur Firdaus Mat Daud, 26, seorang pegawai perkhidmatan pelanggan, dengan mengheret mangsa menggunakan motosikal di Jalan Persiaran Setiawangsa di sini pada 4.15 petang, 16 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, semasa mangsa sedang berjalan kaki melalui Jalan Persiaran Setiawangsa sambil memegang telefon bimbit jenis Samsung Note 1, tertuduh yang menunggang motosikal telah merampas telefon bimbitnya.

Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan sambil berpaut dengan memegang belakang motosikal dan seterusnya diseret sehingga menyebabkan beliau mengalami luka di kaki dan belakang badan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh namun peguam tertuduh, Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim memohon hukuman penjara minimum kerana tertuduh telah insaf dan mempunyai tanggungan di Pakistan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment