![]() |
* TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Hajah Haminah berkenan menyampaikan titah perasmian kampus Management & Science University di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, semalam. |
Seri Paduka baginda berdua menyempurnakan perasmian itu dalam satu upacara gilang-gemilang dan diserikan dengan persembahan multimedia yang dihasilkan oleh universiti tersebut.
Yang turut hadir Pro Canselor MSU, Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin dan Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSU, Datuk Dr. Junainah Abd. Hamid.
Sementara itu, Presiden MSU, Datuk Wira Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid di dalam ucapannya berkata, pihaknya amat menjunjung kasih dengan komitmen dan idea yang disumbangkan oleh Seri Paduka dan Raja Permaisuri yang merupakan Canselor MSU bagi memastikan MSU dapat menempa kejayaan selama ini.
"Pembinaan kampus baharu ini menjadi penanda aras kejayaan MSU yang sudah 30 tahun menyumbang dalam pembangunan bidang pendidikan tinggi di negara ini dan juga di luar negara.
"Perasmian kampus baharu ini mengesahkan MSU sebagai antara universiti cemerlang atau tier 5 yang telah melahirkan ramai modal insan dalam pelbagai bidang seperti pengurusan, perubatan, hospitaliti dan kulinari," katanya.
Mohd. Shukri berkata, kampus baharu MSU dibangunkan dalam tiga fasa dengan kos sebanyak RM570 juta melibatkan kawasan seluas 46,395 meter persegi.
Kata beliau, pembinaan bangunan kampus universiti yang bermula pada 2 Oktober 2007 kini memasuki fasa ketiga membabitkan pembangunan sebuah hospital selain asrama untuk kegunaan pelajar.
"Fasa satu dan dua merangkumi pembinaan Dewan Canselor, Menara Akademik, Menara Sains, Pusat Kebudayaan Islam dan Menara Pengurusan yang sudah beroperasi sepenuhnya.
"Dengan siapnya kesemua fasa pembangunan kampus itu, bangunan baharu MSU akan menjadi salah satu mercu tanda baharu untuk bandar raya Shah Alam," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment