My Add

Sunday 28 July 2013

115 juta euro bayaran khidmat pengurusan Perimekar

KUALA LUMPUR, SABTU, 27 Julai, 2013: Arkitek pembelian kapal selam Scorpene hari ini menafikan sekeras-kerasnya kewujudan elemen rasuah dalam urus janji Scorpene yang kontroversi itu.

Perspektif negatif yang sengaja dimainkan pihak tertentu berhubung isu pembayaran RM452 juta (115 juta euro) sebagai 'komisen' kepada Perimekar Sdn. Bhd, disangkal oleh Jasbir Singh Chahl, yang menegaskan jumlah itu sebenarnya bayaran khidmat pengurusan bagi syarikat berkenaan.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar The New Straits Times, Jasbir yang bercakap buat kali pertama mengenai urus janji itu, berkata, syarikat itu bertanggungjawab dalam logistik dan latihan pegawai serta anggota Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut laporan itu, bayaran itu meliputi perkhidmatan pengurusan projek dan integrasi projek, menyelaraskan penglibatan syarikat Malaysia dalam program penyertaan industri dalam peruntukan perkhidmatan semasa fasa pembinaan dan untuk memantau prestasi firma terlibat.

Perimekar Sdn. Bhd. dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Boustead Holdings Sdn. Bhd. dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Ia juga bagi membantu kontraktor utama supaya mematuhi semua undang-undang dan prosedur tempatan berkaitan pelaksanaan kontrak, menyelaras dan memantau latihan kakitangan TLDM, berdasarkan kontrak utama dan sejajar dengan jangkaan kerajaan Malaysia dan TLDM, serta menyediakan laporan bulanan bagi semua perkara yang dinyatakan itu.

Sebahagian besar daripada bayaran itu melibatkan aspek makanan dan penginapan serta semua perkhidmatan yang perlu bagi latihan kakitangan TLDM dan keluarga mereka di Brest, Perancis dan Sepanyol selama tempoh enam tahun termasuk premium insurans kesihatan serta elaun saraan harian minimum 50 euro seorang.

Kos lain termasuk bayaran tambang pergi balik ke Malaysia tiga kali setahun.

Keseluruhannya, 145 kakitangan TLDM termasuk 49 pegawai dan tanggungan mereka yang diliputi.

"Kami digambarkan seperti mengaut keuntungan dengan hanya duduk sahaja dan memperoleh hasil sedangkan pada hakikatnya terdapat banyak kerja keras, ketara, yang dilaksanakan," katanya. — BERNAMA 

No comments:

Post a Comment