My Add

Wednesday 24 July 2013

12,605 syarikat bakal berdepan tindakan undang-undang

PUTRAJAYA, SELASA, 23 Julai, 2013: Kira-kira 12,605 syarikat bakal berdepan tindakan undang-undang ekoran kegagalan mengesahkan perisian komputer yang digunakan dalam urusan perniagaan adalah sah dan bukannya cetak rompak.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Roslan Mahayuddin (gambar) berkata, tempoh pengesahan selama dua minggu yang diberikan kepada syarikat terlibat telah tamat hujung bulan lalu.

Beliau berkata, inisiatif tersebut antara tujuh program utama dalam kempen Ops Tulen Semak bermula 5 Februari lalu dan tamat pada 30 Jun lalu.

''Sehingga hari ini, mereka masih gagal mengesahkan kepada kementerian, mungkin mereka anggap surat peringatan kami itu sebagai main-main sahaja.

''Tetapi ingat, kami akan ambil tindakan sama ada melalui Akta Cetak Rompak 1987 ataupun Akta Perihal Dagangan 2011 dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian sebelum ini menghantar surat peringatan kepada 25,574 syarikat supaya mengesahkan perisian komputer masing-masing.

Namun, selepas dua minggu katanya, kira-kira 12,942 syarikat sahaja yang mengesahkan mereka menggunakan perisian berlesen.

Kempen itu dijalankan bersama Business Software Alliance (BSA), entiti yang dianggotai pembekal perisian komputer antarabangsa seperti Microsoft, Symantec dan Adobe.

Sehubungan itu, Mohd. Roslan berkata, satu perbincangan bersama agensi penguat kuasa lain dan BSA akan dibuat bagi menentukan tindakan terhadap syarikat yang masih berdegil itu.

''Walaupun kami melancarkan kempen pendidikan, aspek penguatkuasaan tetap dilaksanakan ke atas syarikat yang gagal membuat pengesahan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 36,878 premis perniagaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 649 kes didakwa di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perihal Dagangan 2011 membabitkan nilai barangan yang dirampas RM3.3 juta dan 88 orang ditangkap. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment