My Add

Friday 12 July 2013

13 PATI ditahan di rumah kongsi, pusat urut

Oleh NORAZLINA ISMAIL

BUKIT MERTAJAM, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Jabatan Imigresen negeri menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita bersama bayinya dalam operasi pemutihan Ops Sayang 6P di tapak pembinaan Kampung Teluk dan sebuah pusat urut di Jalan Raja Uda, Butterworth awal pagi ini.

Ketua Bahagian Penguat Kuasanya, Basri Othman berkata, operasi pukul 1 pagi itu disertai 30 pegawai dan anggota yang bertindak atas maklumat orang ramai.

"Dalam serbuan pertama di tapak pembinaan Kampung Teluk, pihak kami menahan lapan PATI warga Indonesia dan Myanmar termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan bayinya berusia setahun enam bulan.

"Kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu.

Menurut Basri, semasa pemeriksaan terdapat beberapa PATI cuba bersembunyi di sebuah ruang rahsia dan di lantai rumah kongsi itu namun berjaya dikesan anggota penguat kuasa.

Dalam serbuan di dua premis yang menyediakan khidmat urutan dan spa di Jalan Raja Uda, beliau berkata, dua PATI wanita dan seorang pondan warga Vietnam yang bekerja sebagai tukang urut ditahan.

"Mereka ditahan mengikut kesalahan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan dan bekerja tanpa permit.

"Dalam serbuan di sebuah premis perjudian di lokasi yang sama, pihak kami menahan sepasang warga Indonesia yang menjaga premis itu. Pusat judi ini menawarkan perkhidmatan perjudian internet dan cabutan bertuah kepada pelanggan," ujarnya.

Menurut beliau, risikan yang dijalankan pihaknya juga mendapati premis berkenaan menjadi tumpuan ramai warga asing yang tinggal di beberapa kawasan perumahan berhampiran untuk berjudi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment