My Add

Wednesday 24 July 2013

1,500 sertai WIEF ke-9 di London

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Kira-kira 1,500 pemimpin kerajaan, pemain industri, cendekiawan, pakar-pakar serantau, golongan profesional dan korporat dari 100 negara akan menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kesembilan di London pada 29 hingga 31 Oktober depan.

Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam berkata, forum yang bertemakan 'Perubahan Dunia, Perhubungan Baharu' itu diadakan buat pertama kalinya di luar negara Islam di mana sebelum ini ia diadakan di Malaysia, Kazakhstan, Indonesia, Kuwait dan Pakistan.

"Kami dijemput oleh komuniti perniagaan Britain untuk mengadakan forum di kota raya itu yang juga merupakan salah satu daripada pusat perniagaan dunia.

"Jadi, kami akan menggunakan peluang ini untuk menghubungkan dunia Islam dan bukan Islam dalam bidang perniagaan," katanya pada sidang akhbar pengumuman mengenai acara tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak serta Ketua Pegawai Maybank Islamic, Muzaffar Hisham.

Menurut Musa, antara topik utama yang akan dibincangkan semasa forum tersebut adalah kewangan Islam yang mana akan menjadi aspirasi kepada London untuk menjadi hab global kepada industri tersebut,

Antara topik lain yang turut dibincangkan adalah ' Wanita di dalam dunia korporat', 'Mempromosikan pendidikan transnasional' dan 'Membangunkan perhubungan global menerusi teknologi digital".

Forum yang berlangsung selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron, manakala Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Penaung WIEF akan turut menyampaikan ucapan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment