My Add

Wednesday 17 July 2013

180 jurulatih jalani latihan sub modul Ops Daulat akhir bulan ini

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Seramai 180 jurulatih di sembilan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Pahang akan menjalani latihan sub modul baharu berkaitan Ops Daulat Lahad Datu pada akhir Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, sub modul tersebut telah siap dibangunkan untuk diserapkan di bawah modul kenegaraan sebagai penyuntik semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

"Selepas selesai latihan tersebut di Kem Permata Resort Alor Gajah, Melaka kelak, sub modul itu akan dilaksanakan secara percubaan kepada pelatih-pelatih kumpulan 3 siri 10/2013 di sembilan buah kem di Pahang pada Ogos depan bagi menilai keberkesanannya.

"Jurulatih-jurulatih di kem lain juga akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut selepas kumpulan jurulatih dari sembilan kem di Pahang itu tamat latihan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pemilihan Pelatih-Pelatih PLKN Siri 11/2014 di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, antara elemen-elemen yang akan dimasukkan dalam sub modul ini ialah pendedahan mengenai Ops Daulat, pemaparan video semasa operasi dilakukan dan dialog oleh wira-wira negara.

"Sebanyak 25 perwira bukan sahaja yang pernah terlibat dalam Ops Daulat, malah dalam pelbagai operasi mempertahankan negara akan dijemput untuk menyampaikan dialog sebagai sebahagian daripada aktiviti sub modul tersebut.

"Kesemua adalah dalam kalangan anggota tentera yang pernah memperolehi Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Pingat Seri Pahlawan (SP)," katanya.

Beliau berkata, dalam aktiviti itu nanti, perwira-perwira tersebut akan menceritakan pengalaman mereka ketika terlibat dalam Ops Daulat di Lahad Datu dan lain-lain operasi.

Sementara itu, mengulas tentang ujian kehamilan ke atas pelatih perempuan yang terpilih menjalani PLKN, beliau berkata, keputusan mengenai perkara tersebut akan diputuskan oleh kerajaan.

"Buat masa sekarang perbincangan sedang dilakukan bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Selepas perbincangan itu, barulah perkara itu akan diputuskan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment