My Add

Thursday 18 July 2013

2 ditahan bersama mercun bernilai RM6,000

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

KLUANG, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Tindakan dua pemuda untuk meraih keuntungan dengan menjadi pengedar mercun dan bunga api di kawasan Felda di sini, membawa padah selepas kedua-duanya ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 88, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kedua-duanya yang berusia 28 dan 30 tahun itu diberkas pukul 3 pagi, ketika dalam perjalanan menghantar barangan itu yang bernilai RM6,000 kepada pelanggannya.

"Kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dilihat mencurigakan kerana sarat membawa barangan yang ditutup kemas. Ketika ditahan mereka menuju ke arah Mersing," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Abdul Majid berkata, hasil siasatan mendapati suspek merancang untuk mengedarkan mercun dan bunga api itu di kawasan Felda di Mersing dan merupakan kali pertama dilakukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Polis mengingatkan orang ramai supaya hanya menjual dan membeli bunga api dan mercun jenis 'pop-pop' serta 'happy boom' sahaja," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment